Showing posts with label PhD. Show all posts
Showing posts with label PhD. Show all posts

Monday, January 23, 2017

42 Kisah Ringkas PhD Saya

Assalamualaikum wbt,

Hai semua! Lama tak jumpa ya tak? Akak sibuk dengan study, tu lah pasalnya. Lepas dah setel, macam tak tahu pula apa nak diupdate kat sini. Dalam kepala masih kekal dan terbayang-bayang nombor-nombor dan graf-graf yang berserakan...

Apapun, alhamdulillah urusan belajar telahpun selesai. Officially selesai! Syukur, berkat do'a dari kalian juga.

Memang 2016 boleh dikatakan tahun yang mencabar sebab pada satu tahap saya merasakan telah sampai ke satu jalan mati yang tak nampak langsung jalan keluarnya dan hampir putus asa untuk meneruskan perjuangan PhD. Tapi, atas pelbagai sebab dan push factor, saya gagahkan untuk bangkit dan terus melangkah walaupun peritnya hanya Tuhan yang tahu. Langkah demi langkah itulah yang akhirnya menyampaikan saya ke garisan penamat.

Kongsi sikitlah gambar dengan readers yang dirindui...

Antara proses akhir study...yang panjanggggg...cukuppp panjangggg....

Cabarannya adalah pada sambung belajar dengan anak-anak yang masih kecil. Masa ni redah bawa diorang dan suami ber'kampung' di Bangi...demi ibu yang nak cari punca masalah analisis yang tak kunjung tiba penyelesaiannya...ibu dari pagi sampai malam duduk di makmal sambil ayah mengadun budak bertiga ni di sebuah rumah yang kami sewa sekejap dengan kawan...ni gambar pagi-pagi ayah bawa diorang hirup udara segar sambil ibu hirup udara makmal...tskk

Cabaran seterusnya...rumah takyah mimpi nak kemas, tersusun dan efektif sangat masa ni...hidup ibu masa ni tak sempat fikir susunatur dah...serius cakap, hanya mampu menghadap komputer dari pagi sampai malam. Kalau nak cerita balik peritnya rasa macam tak mampu...tapi itulah dianya antara sebab blog ni terbengkalai...

Pulun pulun pulun, push diri sendiri sampai tahap maksimum dah terover-over maksimum dah, AKHIRNYA siaplah segerombolan tesis fasa pertama ni. Hangpa ingat siap dah ka ni? Jauhhhhh.....jauhhh lagi...huhu. Ini baru masuk langkah SATU untuk fasa akhir. Berapa banyak langkah pula dalam fasa akhir ni...? Ha, banyak sangatlah senang ceritanya...hehe tapi takpe janji dah nampak sikit cahaya jadi kita cuma ikut sahaja...walaupun tersadung-sadung je kerjanya...

Sampailah jatuh-bangun-duduk-tersepuk itu menyampaikan kepada...

HARI PALING MENDEBARKAN...VIVA DAY...!! 

Orang kata ni kira macam medan tempurlah nak pastikan kerja-kerja kita diiktiraf...dan rezeki saya dapat tarikh viva elok jatuh pada bulan Ramadan iaitu hari ke-empat kita berpuasa. Senang cerita hari ini adalah hari yang Allah mudahkan dengan semudah-mudahnya untuk saya. Walaupun ianya analogi kepada sebuah medan pertempuran tetapi ia sebuah medan pertempuran yang dibantu Allah dengan membekalkan kepada saya semangat juang yang tinggi... 

Bukankah selepas kesusahan ada kesenangan? :')

Syukur alhamdulillah, saya tak gugup langsung, dapat present dengan sangat baik dan sangat yakin sehingga supervisor dan panel pun puji "high confidence level". MasyaAllah...!!

TIPS: Untuk mereka yang nak mudah urusan viva, terlalu banyak tips yang anda boleh cari di google tapi satu yang saya buat ni sangat-sangat membantu masa hari viva adalah - MOCK VIVA!! Sila pastikan anda ajak supervisor, kawan-kawan sepengajian dalam 4-5 orang, co-supervisors jangan lupa dan present depan mereka sebelum tarikh viva yang sebenar. Percayalah, mock viva ni sangat banyak membantu untuk kita buat dengan baik.

Bergambar dengan supervisors dan panel yang hadir pada 'hari kecut perut' tersebut...:')

Dan mempulun selepas itu adalah menyiapkan segerombolan lagi tesis dengan hardbound yang telah melalui pelbagai rencam dan renyah urusan pembetulan content, format, susunatur dan lain-lainnya...takpelah, hati dah tenang sebab setel viva jadi ambil masa seminggu je daripada tiga bulan yang ditetapkan untuk siapkan semua ni. Kira nak beraya dengan hati yang cukup lapanglah kiranya...

Dan hari-hari seronok pun tiba...konvokesyen day! ^^, 



Ada khalifah dalam perut ibu ;) Double happiness ❤❤

Ya Allah jika anda tanya macamana saya buat semua ni sambil jaga anak...taktahulah saya nak kongsi macamana sebab saya sendiri masa menaip ni pun turut berada dalam fasa masih tidak percaya saya mampu sampai ke tahap ini. Allah jugalah selayak-layaknya saya kembalikan segala rasa syukur tidak terhingga. Serta suami dan anak-anak yang menjadi tulang belakang serta saksi jatuh bangunnya saya dalam perjalanan ini.

Kalau nak minta tips ke apa, insyaAllah saya cuba kongsikan nanti. Tips sangat tu tidaklah, cuma berkongsi pengalaman. 

Saya siapkan PhD ni lebih kurang 4 tahun. Secara umumnya tahun pertama dan kedua tahun yang yakin boleh siapkan dengan cepat. Masuk tahun ketiga dah mula ragu-ragu, awat buat-tak dapat, buat-tak dapat ni...dah mula rasa risau dan cuak. Tahun keempat tahun struggle sehingga ke titisan peluh dan air mata yang terakhir...

Tahu-tahu depan komputer dah dapat graf yang dikehendaki setelah sekian lama mempulun, dengan tak semena-mena air mata bergenang... Saya cuba bangkit dan cerita pada suami dengan suara tersekat-sekat antara gembira dan sayu...waktu nak dekat-dekat Maghrib masa tu...automatik selepas itu kepala jatuh ke bumi, merendah diri kepada yang memiliki segala ilmu ini - sujud syukur. 

Perasaannya sukar digambarkan bila Allah pancarkan sedikit cahaya di dalam lorong yang cukup gelap dan likat - tak jumpa jalan keluar, tak tahu ke depankah yang selamat atau ke belakangkah yang betul, serba buntu dan lemas...Allah bantu akhirnya dengan kasih dan sayangNya yang meluas... 

Perjalanannya cukup panjang, pengorbanan yang diperlukan juga tidak calang-calang, Allah biar hati ini jatuh pada kejatuhan yang paling dalam untuk menyedarkan Dia pemilik segala kekuasaan dan kebijaksanaan. Manusia tiada apa, yang bijak dan pandai hanya Dia. Pada diri ini hanya secebis ilmu yang dipinjamkan buat bekal diri untuk sentiasa sedar '...aku adalah hamba...'.

Buat pemilik-pemilik hati yang sedang dalam proses yang sama, kutitipkan do'a terbaik buat kalian. Semoga berjaya dan terus cekal...!!

Buat peminat susunatur, insyaAllah tahun ni saya nak kembali menulis di sini, buat kongsi-kongsi hobi...kita cuba mana sempat ya...lama dah tak jenguk blog susunatur yang lain...

Sekian dulu, jumpa lagi!

#tidakterlalusibuk
#tapimasihmeneruskansakibakikerja
#jurnaljurnaltertunggak

 photo footer.png

Friday, February 7, 2014

79 Rutin Harian Sebagai Pelajar, Ibu dan Isteri

Assalamualaikum wbt,

Oh kesayangan semua...rindu bangat mau nyembang-nyembang ama kalian...dilanda kesibukankah kalian semua...?

Hoho.

Terima kasih kepada yang sudi join Cabaran Study Room kita. Penaja pertama, Nurul kata kalau tak dapat follow blog beliau pun takpe. Yang ada akaun Google+ tu digalakkan follow...gituuu...terima kasih Nurul. Tapi, kalau dapat figure out follower widget problem tu ada bagusnya sebab ramai yang nak baca blog Nurul, termasuk saya. =)

Berkenaan tajuk, ada beberapa soalan yang sering saya terima, kira macam frequently asked question {FAQ} tentang bagaimana saya uruskan masa antara belajar, urusan kemas rumah dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

Sebenarnya, agak susah juga nak cerita dalam blog begini sebab takut orang salah erti. Tapi sebab nak face to face pun memang kesukaran juga sebab yang bertanya tu pun kadang jauh-jauh duduknya. Di Sabah pun ada {silent reader}. Dah cemana pulak nak ke sana? Kebanyakan yang bertanya mungkin sebab tengok blog ni memaparkan keadaan rumah yang sentiasa kemas dan tersusun, maka ada yang beranggapan 24 jam rumah saya memang 'cun' macam tu.

Jadi, sebelum meneruskan perkongsian, ada baiknya saya menjelaskan duduk perkara sebenar {ahah, duduk perkara sebenar sangat...;P}

Takde apalah, cuma nak bagitau...rumah saya bukanlah 24 jam kemas...ada waktu sepah tu sepah jugak cuma bezanya orang 'macam saya' ni mungkin akan cepat-cepat kemaskan semula sebab dah memang begitu fitrahnya diciptakan spesis camni. ;p Kalau orang putehs kata OCD kan. Haa...obsessive compulsive disorder gituuu...berbelit nak nyebut...spesis nak semua benda kemas tersusun ;p

pelajar ibu isteri
Ni jiran tanya...sebenarnya jiran saya ni sambung belajar jugak. 

cara urus masa
Soalan lebih kurang sama dari kawan merangkap jiran...

Biasanya kawan-kawan yang sambung study {dan study from home} yang banyak tanya pasal benda ni sebab semua nak siapkan study dalam jangkamasa yang ditetapkan. Dan dilema yang selalu menghantui study-at-home-mom ni adalah macamana nak kekalkan momentum pengajian dan terus kekal bermotivasi sehingga ke sem akhir. Saya faham sangat dengan dilema ni sebab masa nak siapkan Master dulu, dilema nilah yang selalu menyerang saya. Sekarang bukan takde, tapi bolehlah sikit sebanyak tahu caranya camne nak tackle...

Selain student, ada juga surirumah yang menghubungi saya. Semua dah ada internet sekarang kat rumah. Agaknya selalu google pasal susunatur rumah, keluar pulak blog kecik ni dalam enjin carian...terus pulak e-mail saya tanya pelbagai soalan. Kebanyakannya tentang camne nak uruskan rumah...nak susun dapur, periuk belanga, pinggan mangkuk serving, masalah haiwan perosak...macam-macam...saya cuba balas semua persoalan tu sebaik mungkin semampu saya. 

Ok, kita nak cerita apa sebenarnya ni? -..-

Oh yaaa...pasal rutin harian ya. Panjang sangat muqaddimah.

Ni lebih kurang laa asas jadual rutin harian saya, tak detail la kang jenuh pulak korang nak layankan ambe membebel...;p

Seperti yang saya WhatsApp pada jiran saya tu {entah-entah awak sedang baca jugak ek jiran ;p} rutin saya adalah seperti berikut:

Masak sarapan.

Pagi-pagi saya akan masuk ke dapur untuk siapkan sarapan. Sekarang ada jadual Meal Planning. Jadi , kebanyakan waktu saya akan ikut kata jadual. Tapi kadang 'menderhaka' jugak. Jadual tulis lain, tapi saya masak lain. Eheh...ikut masa dan keadaanlah ya...be flexibel gituuu...

Tapi sebelum mulakan tugas memasak tu, saya akan clearkan sinki. Biasanya malam sebelum tidur, basuh pinggan kotor semua dan toskan. Jenuh nak tunggu kering, mata dah ngantuk...jadi pagi-pagilah buat kerja clearkan pinggan mangkuk yang dah basuh semua tu.

tips urus masa kemas rumah
Camne nak memasak dengan tenang kalau keadaan begini...? -.-'

tips urus masa kemas rumah
Susunkan ikut kategori dan masukkan ke dalam rumah memasing....
Amek masa lebih kurang seminit dua jugak untuk kemaskan.

tips urus masa kemas rumah
Now dah boleh memasak. 

.

.

.

tips urus masa harian
Mini Burger :: Cekodok Sempoi :: Pizza Homemade :: Spiral Macaroni :: Mee Goreng :: Mini Sandwich

Ikut dan kalau sempat buat juadah breakfast yang berat sikit, kalau tidak yang sempoi pun layan je...kadang tu ada jugak juadah yang anak tak gemar. Biskut kosong sapu jem stoberi jugak yang dia nak. Ibu layankan je...tu pasal ibu yang makin membulat. Haha.

Aktiviti anak-anak.

Selesai sarapan, suami pergi kerja dan mulalah aktiviti anak-anak. 

Woohooo...ni part yang PALING MENCABAR...waktu ni lah saya rasa kena masuk gear rendah untuk pastikan rumah kemas. Lupakan standard kekemasan yang telah ditetapkan. Dan biar anak bereksplorasi sebebas mungkin mengikut batas-batas yang digariskan. Lepas bebaskan daya imaginasi itu dan jangan ditahan-tahan. 

TETAPI....tetap perlu ada had. Semua perkara dalam kehidupan kita...tidak boleh berlebih-lebihan. Biar berpada.

Antara peraturan mudah bagi mengimbangi daya imaginasi anak-anak dan kekemasan rumah yang perlu dikekalkan adalah seperti melukis perlulah di atas kertas bukan di dinding, main satu bekas mainan pada satu-satu waktu bukan kumbah SEGALA mainan yang ada, main di satu tempat sahaja bukan kejap depan kejap dapur kejap bilik dan beberapa peraturan yang bersesuaian. Dan perlu diterapkan lepas main kena kemas semula.

tips urus masa ibu surirumah pelajar
Creative Time :: Playdough Time :: Animals & Vehicles :: Outdoor Activity :: Art Time :: Reading

Banyak ambil masa untuk perkara ni. Dilemanya sebab ada tiga usia berbeza. Aktiviti untuk kakak adakalanya tak sesuai untuk baby Zuhair. Jadi saya perlu kreatif dan banyakkan bersabar untuk penuhi keinginan dan keperluan yang pelbagai dan berbeza kanak-kanak syurga ni. Ada sebab kenapa saya tak hantar taska/pengasuh. Buat masa sekarang memang anak-anak sepenuhnya di bawah jagaan saya. 

Masak tengahari.

Ada waktu-waktu anak-anak leka beraktiviti, saya akan masuk bilik belajar dan buat apa yang patut. Kut nak analisis data ke, run software ke, cari jurnal nak hantar ke, rangka tesis ke...curi-curi masa buat urusan study

Kemudian suami saya balik tengahari, masa tu peak time saya. Dalam DUA jam yang singkat itu, saya perlu siapkan masak tengahari, selesakan anak-anak, kemas hasil aktiviti anak-anak tadi, solat dan makan. Itulah waktu yang saya rasa paling pantas saya perlu bekerja. Macam lipas kudung... 

Syukur sangat, suami banyak membantu. Sementara saya masak, suami akan setelkan anak-anak dan kemas rumah. Kemudian sementara saya solat, suami layan anak-anak makan.

tips urus masa memasak
Cencaru Goreng Berlada :: Siakap Stim :: Cencaru Sambal Tofu :: Sambal Telur :: Siakap Tiga Rasa :: Ayam Masak Cili Padi  

1 lauk utama + 1 lauk sayur + 1 lauk anak.

Berpeluh habis dah ni nak siapkan 3 juadah -_-"

Lepas dah siap masak, saya akan clear up pulak all the mess...{ada maid best ni, boleh sub kerja ni hehe}

rutin harian rumah kemas
Bersihkan sinki siap-siap lepas masak.

rutin harian rumah kemas
Ini kalau sedang masak, penuhhh sesakkkk....-..- 
Jadi, bersihkan semua kesesakan itu...

rutin harian rumah kemas
Lepas basuh perkakas yang kecik-kecik dan keringkan, masukkan dalam kabinet..kemudian, basuh yang besar-besar pulak...kuali periuk semua tu...

Siapkan minum petang {sedikit masa untuk study}.

Lepas suami gi kerja, saya akan tidurkan anak-anak. Alya dan Zuhair senang tidur. Tapi Adni susahnya la haiii...yelah, dia dah 5 tahun. Umur macam tu, terrrrrrr....lalu banyak nak diimaginasikan dan dieksplorasi. Nak suruh padamkan semua api ingin tahu yang membara tu dan masuk zon tidur adalah suatu perkara yang sangat mencabar. Kenalah ibu fikirkan cara. Antaranya baring sekali...dan kadangkala terlelap sama. -..-

Kalau tak terlelap sama, saya akan masuk bilik belajar balik dan sambung kerja sikit-sikit. Dah petang tu mood nak study pun dah merudum jadi buat kerja lain macam blogging ke, kerja susunatur ke...tapi tu pun dapat buat kejap je...baru nak masuk gear tinggi sikit, anak-anak pun dah bangun dan memang TAKla nak buat kerja tu semua...sambung aktiviti dengan diorang je la jawabnya....;)

kemas rumah dan urus anak
Pening dengan software, buat hobi macam dalam kotak dahsed biru tu...:)

Bila ada kerajinan yang berlebihan ;p saya akan siapkan minum petang pulak.

tips urus masa dengan efektif
Begedil :: Churros :: Karipap :: Muffin Oreo :: Pengat Labu :: Kek Coklat 

*tak pandai buat kek asyik merekah je -__-''*

FOCUS Study!

Then suami balik, solat semua dan saya masuk bilik kerja dan fokus STUDY secara maraton dan pulun selama TIGA jam. Itulah waktu berkualiti yang saya perlu fokus untuk study. Alhamdulillah memang banyak saya boleh buat dalam waktu yang sedikit tu. Nampak je sikit, tapi bila fokus memang boleh dapat buat banyak. Alhamdulillah suami pun tak keberatan nak take turn jaga anak-anak sementara ibu berperang di ruang jihad tersendiri. Gituuuu....;')

Ada jugalah waktu yang down dan malas nak study, tapi perjumpaan bulanan dengan supervisor dan geng projek sangat-sangat membantu untuk keep the motivation and momentum. Bila dah mula nak malas, tau-tau dah "eh, dah nak dekat waktu next presentation progress ni...kena buat sesuatu ni..."

...dan terus masuk balik gear study...gituuu...

rutin harian pelajar phd by research

Begitulah sedikit sebanyak jawapan yang boleh saya kongsikan untuk kawan-kawan yang bertanya tentang rutin harian saya. Mana yang baik tu jadikanlah tauladan, yang kurang tu tegur-tegurlah ya...=)

"Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu." 

Jom sama-sama jadikan kesibukan yang melanda ini kesibukan yang diredhai Allah :)

p/s Cuba kongsi pulak rutin harian korang cemana...

 photo footer.png

Wednesday, June 26, 2013

26 Pengumuman Dan Perkongsian Rasa Gembira

Assalamualaikum wbt semua...

Perkara 1:
Buat semua peserta Giveaway "Jom Menang Set Bekas Ikea!"...harap dapat cek balik syarat-syarat penyertaan ya...sebab saya rasa ada yang belum tepek banner ataupun buat entri...kalau cuma masukkan link blog belum cukup syarat ya dearie semua...=)

Perkara 2:
Ada satu Giveaway menarik dari blog Hidupku Rumahku Terurus yang wajar anda sertai...jom kita! Saya pun harap ada masa nak join...gambar dah ada tapi karangan belum buat. Harap MamaLynd sabar menunggu...;)


Klik SINI untuk join!

Perkara 3:
Juga nak TERIMA KASIH kepada MamaLynd pasal hadiah buku Mudahnya Mengemas Rumah dah sampai ke rumah...ops, sebenarnya lama dah sampai tapi baru nak kecoh...;p


Perkara 4:
Saya berasa GEMBIRA kerana setiap hari buka blog, akan ada cerita susunatur dari kawan-kawan...taktau nak cerita cemane gembira saya tu...:')

Perkara 5:
Walaupun begitu, keterbatasan waktu menyebabkan saya tak dapat up banyak entri untuk menyertai anda...gambar ada tapi nak menulis betul-betul perlukan masa. 

Taip satu hal, formatting satu hal, nak semak 2-3 kali sebelum publish satu hal. Satu entri memang menjalani proses yang lama sebelum saya boleh publish

Harap gambar di bawah dapat menjelaskan mengapa waktu yang saya ada untuk perkongsian susunatur sangat terbatas (setakat ini).


Perkara 6:
Okey, dah nak sampai klimaks dah ni...tapi sebelum tu nak kongsi pasal hobi saya...guna baucar buku ni...harganya dekat RM90, memang TAKla nak beli sendiri...sebenarnya nak cari buku lain tapi akhirnya ditakdirkan beli buku ni jugak sebab satu lagi kedai buku takmo terima baucar saya yang tiada cop universiti. Ok, tu panjang ceritanya...


Perkara 7:
Dan lastly, hari Sabtu yang lepas...do you know who knock my door and gave me sweet words and made my day - and my stomach full of butterflies

Mungkin ada yang perasan kalau baca komen-komen di entri saya yang INI.

Pagi tu, saya bukak emel dan perati ada satu komen yang...oh my! Is this for real

Bila baca tu rasa macam kalau ada orang toreh pun tak keluar darah ni...hehehe...

What news has someone given you lately that made you so happy?
Kemuncak kegembiraan itu ialah...


Nak kena framekan ke ni...orang besar, dikenali ramai, having a BIG number of fans...the sweetie jen from iheartorganizing datang blog humble ambe dan komen yang . . . . . . sweeeetttt? ;p

I am so...so...soooooo HAPPY! =D

Jen idokle datang tiba-tiba ke sini, saya yang selalu menyibuk kat blog dia...tapi dia buat kunjungan balas ke sini itu yang membuatkan saya terharu dalam kegembiraan...tskkk...tskkk.. ;')

Sekian melaporkan.

p/s Selain sibuk dengan study, saya sedikit stress dengan Streamyx yang amat dahsyat prestasinya akhir-akhir ini...dan saya juga tengah spring cleaning rumah saya...will have much-much MORE updates on organizing after this...so stay tuned, my all LOVES! =)

 photo footer.png

Saturday, September 15, 2012

7 Study & Workspace For Now

Hmm, nak mula dari mana ya cerita...Bila dah lama sangat cuti menulis, jadi idea yang datang pun banyak sangat sampai taktahu mana nak diceritakan dulu. Cerita Raya pun dah basi...

Rasa macam paling teringin nak cerita pasal organizing...Hehe.

Nak-nak bila buka blog Puan Lynd itu. Semakin maju beliau dalam mengorganize rumahnya.

Tapi, bila difikir-fikir balik, banyaknya kerja nak kena buat...Terutamanya menulis paper. Selain daripada tu, kena mahirkan diri dengan software antenna design yang baru, buat coding Matlab, dapatkan layout antenna yang dikehendaki...Oh, banyaknyaaa...

Satu semester sudah berlalu. Target nak siapkan design guna HFSS masih belum berjaya. Sedihnya...Terasa macam kat gambar bawah ni pulak gayanya bila masih di awal-awal pengajian macam ni:


Lebih kuranglah cabaran yang menanti di hadapanku ini...

Tapi, apapun Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, sebab kami sekeluarga dah menetap di Melaka secara tetap so, kuranglah sikit masa terbuang di jalan raya. Traveling sana sini macam orang nomad, yang memenatkan! Bila duduk satu rumah je, nak bekerja secara lebih efisien pun lebih baik. Tu yang masa progress presentation itu hari, suka hati je janji dengan supervisor nak siapkan seketul jurnal dalam masa dua minggu. Tak toleh kiri kanan, tak fikir panjang, macam yakin je boleh siapkan...Hambek hang, sampai hari ni duk pergi open house lagi...Bila nak start ni wes? Adoik!

Rasa-rasa macam boleh cuba siapkan jugak, tapi mungkin kena stay up ke guane ke, taktahulah lagi tu. Waktu hari biasa boleh je start sebab dah hantar Taska budak-budak ni. Memang kena hantarlah, sebab cemana ibu ngan ayah nak study kalau bidadari-bidadari yang tengah agresif meneroka dunia tu ada bersama...?

Hati ibu memanglah sedikit sedih sebab kalu boleh biarlah ibu yang jaga anak-anak sendiri, tapi apakan dayaku insan yang lemah. Kenalah jugak meneruskan perjalanan yang telah dimulakan demi memudahkan kehidupan kemudian hari, insyaAllah. Banyak perkara boleh belajar sepanjang kehidupan ini.

Harap-harap boleh terus menulis di blog ni sebab nak kena asah jugak otak ni bila menulis. Boleh membantu untuk menulis tesis nanti kira-kiranya. (apa kaitan entah? huhu)

Oklah, memandangkan takde entri wish Raya untuk tahun ni, maka saya ucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin untuk semua pembaca budiman blog kecil saya ini...

Diharap workspace yang ada di rumah saya ni boleh menjadi medan perjuangan terbaik saya menyiapkan kerja-kerja. Ameen.


Sebelum ni, kat meja saya cuma ada PC tapi, lepas balik present tu, saya mula design guna software yang saya kata tu, HFSS, sekali punyalah slow jadi saya pun terfikir macamanalah saya nak guna laptop kat meja yang sama sambil boleh study/tulis paper [tulis paper ke? ngehngeh].

Dan-dan tu jugak idea keluar untuk alihkan semua kotak-kotak fail tu dan jadikan tu tempat untuk lappy. Tapi, fikir punya fikir, nak letak kat mana tah kotak-kotak ni, sekali lagi idea keluar. Saya ada lebihan kayu masa buat kitchen cabinet dulu, maka tinggal nak beli bracket je dan pasang dengan khidmat bakti Encik Suami. Tapi buruk sikitlah, sebab kayu tu takde laminate, jadi nampak kayu bahagian dalamnya. Tapi, tak kisahlah sementara waktu je. Kut ada idea lagi nanti, boleh ubah kan? Hee...


Bawah meja tu semak dengan wayar...tengah fikir cemana nak sorok semua tu. Adoi macam-macamlah makcik ni nak buat. Pelan-pelan kayuhlah ye...Sambil tu jangan lupa, ada hutang jurnal dengan Prof...;>

Tuesday, March 6, 2012

7 Mahu Menulis Juga

Walaupun rasa macam tak sempat, tapi saya gagahkan diri menaip blog ini. Lepas ni nak masuk tidur sebab menaip ni pun dengan mata yang seperti digam-gam.

Saya baca blog kawan-kawan semua, tapi tak setiap hari. Kadang saya taktahu apa perkembangan kalian. Kadang saya baca, dalam hati memberontak nak komen panjang-panjang, banyak-banyak tapi macam tak berkesempatan nak klik comments tu, tambah pulak kalau kena taip word verification sekali tu.

Sekarang, rutin harian saya sedikit meletihkan. Demi mengekalkan rumah yang kekal kemas, saya pastikan sebelum pergi kerja, rumah beres. Sampah siap dibuang. Sarapan tersedia di meja. Balik je dari lab, rutin saya bermula. Saya mula kemas rumah, lipat baju, basuh baju, sidai baju, kemas dapur, siapkan anak-anak. Saya melakukan ini semua setiap hari. Selesai semua biasanya dah waktu Maghrib. Lepas solat semua, barulah saya tengok laptop. Setakat ni, memang saya biasakan diri tak buka blog/fb di lab sebab saya perlu fokus untuk kerja. Jadi, memang kat rumah je saya ber'foya-foya'.

Yang menjadi masalahnya, waktu itu jugalah yang saya ada untuk meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak. Siang dahlah saya takde dengan mereka. Malamlah diorang nak bermanja dengan saya. Rasa bersalah pulak bila berlama-lama depan laptop dan membiarkan anak-anak main sendirian. Jadi, selalunya saya boleh baca dan update blog bila suami saya ada kat rumah juga. Kalau tak, biasanya saya akan layan anak-anak.

Tadi Alhamdulillah saya dah cek status Zamalah saya. Ibu sukses! Walaupun tadi orang PPS tu kata hari ni dia nak bagi offer letter tu, tapi bila saya datang dia tak siapkan lagi, saya biar je. Malas nak marah-marah. Dah tengah good mood kan. Ngehngeh.

Saya kan, masa pergi Acheh dulu, pensyarah saya ada kata, kita ni biasanya akan dapat rezeki sebagaimana yang kita spend rezeki tu. Contohnya kalau kita dapat duit banyak, kemudian kita rajin memberi, beri pada kawan-kawan, beri pada keluarga, mak, ayah, kakak, adik, anak kakak, anak adik...dan semuanyalah, maka kita akan dapat sebanyak itu. Tapi kalau kita ni kedekut, hutang pun liat nak bayar, nak memberi jauh sekali, maka yang kita dapat pun akan sebanyak itu jugalah.

Begitulah yang dinasihatkan kepada saya sebab saya masa pergi tu, elaun kerja saya tertangguh dua bulan. Saya pergi dengan duit yang sekadar saja. Mungkin sebab itu (hati yang gundah gulana duit takde), Allah bukakan hati pensyarah saya untuk memberi mutiara kata yang berharga tu kepada saya. Kini saya kongsikan dengan anda semua, pembaca hebat! ^^
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...